“Mak, kenapa kita selalu makan bubur je?”
“Tak apa, nak. Janji kita kenyang… dan bersyukur.”
Dialog itu masih berdesir di gegendang telingaku, seakan-akan baru semalam
terucap. Waktu kecil, hidup kami tidak bergemerlap. Hidangan kami hanya bubur
nasi tawar, kadangkala berteman garam halus, kadang bersulam kicap cair. Jika
ada rezeki lebih, ibu akan hulur sekeping roti lutut yang dicicah teh panas —
itulah kemewahan kami.
Namun
aku tidak pernah merungut. Dalam serba kekurangan, hatiku dipenuhi syukur. Di
sebalik dinding rumah kayu yang hampir reput itu, aku belajar mengenal erti
bahagia yang tidak bergantung pada harta.
Sejak
tadika, buku menjadi dunia kecilku yang sunyi tapi penuh warna. Sementara
rakan-rakan masih mengeja, aku sudah habis membaca buku sekolah rendah. Tahun 1
aku sudah lancar menulis, dan menjelang Tahun 6, aku selak helaian buku STPM.
Buku itu teman yang tak pernah meninggalkan aku walau malam gelap atau siang
terik.
Cuti
sekolah bukan waktu bersantai. Aku akan bangun sebelum matahari membuka
tirainya, menemani ibu dan ayah ke kebun getah. Kami berjalan kaki satu jam setengah menembusi kabus pagi dan
embun basah. Bau tanah basah itu masih melekat di hidungku. Di kebun, aku kutip
susu getah, cabut pucuk paku, ambil jantung pisang. Ibu masak gulai daripadanya
tiada rasa semewah itu pada gulai restoran hari ini.
Bila
ada waktu senggang, aku memancing. Seekor ikan kecil buatku melonjak gembira.
Ayah ajar tanam jagung, ubi, pisang. Aku ikut. Aku tidak tahu duduk diam. Sejak
kecil aku sudah tahu memegang jarum, menjahit langsir, menaip surat. Kalau ayah
tukang rumah, aku pembantu setia, walau tangan kecilku hanya mampu pegang paku
dan kayu.
Ibu
selalu pesan lembut, “Buat kerja tu… selawat ya, nak.”
Dengan selawat, basuh kain menjadi ibadah. Dengan selawat, menyapu rumah terasa
seperti memuliakan rezeki. Aku percaya, berkat datang dari bibir yang tak lupa
Tuhan.
Setiap
petang lepas Asar, aku duduk membuka buku aktiviti Matematik. Bila selesai,
baru aku ajak adik-adik bermain. Tapi solat dan mengaji tak pernah aku
tinggalkan. Ibu ayah tegas. Mereka mahu aku kenal Tuhan lebih dulu, sebelum
dunia. Hati yang mengenal Allah, katanya, tidak akan mudah goyah.
Di
sekolah, aku aktif. Ketua Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Sekolah, Penolong
Kelas, semua aku sandang bukan untuk bangga, tapi kerana aku cinta ilmu. Setiap
kali guru puji, aku senyum dalam hati. Kata mereka, “Uzma, kamu murid harapan
cikgu.”
Dulu
bila orang tanya, “Apa cita-cita Uzma?”
Dengan mata bersinar, aku jawab, “Nak belajar sampai Jordan.”
Waktu kecil, aku nak jadi doktor. Di sekolah menengah, aku mahu jadi peguam. Di
universiti, aku impikan menjadi pensyarah. Tapi lama-lama aku sedar… hatiku
paling tenang bila bersama anak-anak kecil. Akhirnya aku pilih menjadi guru bukan sembarangan guru, tapi guru yang mahu
menyemai benih besar dalam hati anak-anak kecil. Cinta ilmu, cinta Tuhan.
Aku
juga suka membantu. Bila ada kenduri kahwin, aku tolong hias pelamin, susun
hantaran. Senyum orang jadi hadiah buatku. Pernah satu hari, lauk tak cukup.
Aku makan nasi berlaukkan kicap, dan bahagianku aku serahkan kepada adik-adik.
Aku tak pernah rasa itu pengorbanan. Itu cinta.
Hidup
kami memang susah. Tapi dalam rumah kecil itu ada tawa, ada peluk ibu yang
menenangkan, ada suara ayah yang mengajar sabar. Doa mereka jadi pelita
jalanku. Usaha yang tak pernah padam, guru-guru yang menyinar harapan semua itu membentuk aku menjadi manusia hari
ini.
Jangan
malu dengan hidup sederhana. Dalam langkah kecil pun, ada impian besar. Yang
penting, hati jangan kecil. Mimpi jangan padam. Usaha jangan jemu. Aku percaya
aku boleh. Kamu pun boleh.
Bintul Imran 76
Kampung Malau Gerik