بسم الله الرØÙ…Ù† الرØÙŠÙ…
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang istiqamah di atas jalan kebenaran. Ya Allah ampunilah kami semua yang masih diberi nafas untuk meneruskan sisa-sisa hidup di dunia fana ini. Syukur kepada Allah kerana kita semua tetap kekal istiqomah dalam iman dan taqwa kepada Nya.
Kini, kita melangkah ke Tahun Baru 2026. Pertukaran tahun bukan sekadar perubahan angka pada kalendar, tetapi peringatan bahawa umur kita semakin berkurang, dan perjalanan kita menuju akhirat semakin hampir.
PERTAMA: Tahun Baru sebagai Ruang Muhasabah Diri
Islam telah mendidik kita supaya sentiasa bermuhasabah, menilai diri kita sebelum kita dinilai oleh Allah SWT.
Saidina Ali bin Abi Talib RA pernah berpesan:
“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah amalanmu sebelum ia ditimbang ke atasmu.”
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat).” (Surah al-Hasyr: 18)
Ayat ini juga, telah mengajar kita bahawa masa depan yang sebenar bukan hanya tahun 2026, tetapi hari akhirat.
KEDUA : Masa- Nikmat yang Sering Disia-siakan
Masa adalah antara nikmat terbesar yang sering dilalaikan manusia pada zaman yang penuh mencabar ini/akhir zaman.
Rasulullah SAW bersabda:
“Dua nikmat yang sering dilalaikan oleh kebanyakan manusia: nikmat sihat dan nikmat waktu lapang.” (Riwayat al-Bukhari)
Saidina Ali RA juga mengingatkan:
“Sesungguhnya dunia telah pergi meninggalkan kita, dan akhirat sedang mendatang. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat, jangan kamu menjadi anak-anak dunia.”
Sepatutnya, tahun 2026 ini seharusnya menjadi tahun bagi kita lebih menghargai masa, bukan semakin lalai dengannya.
KETIGA : Memperbaharui Azam dan Niat
Imam al-Ghazali رØÙ…Ù‡ الله seorang ulama besar yang terkenal telah menegaskan bahawa :
“Siapa yang hari ini lebih baik daripada semalam, maka dia beruntung. Siapa yang hari ini sama seperti semalam, maka dia rugi. Dan siapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, maka dia celaka.”
Sewajarnya , masuknya tahun baru menuntut kita bertanya pada diri sendiri:
Adakah solat kita semakin terjaga?
Adakah akhlak kita semakin baik?
Adakah hubungan kita dengan Allah semakin dekat?
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka, perbetulkanlah niat, perbaharui azam, dan teruskan usaha walaupun kecil.
KEEMPAT : Jangan Berputus Asa dengan Rahmat Allah
Kita adalah hamba Allah yang lemah dan serba kekurangan. Kadangkala kita rasa terlalu banyak dosa, terlalu banyak kegagalan.
Namun Allah SWT menenangkan hamba-Nya:
“Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.” (Surah az-Zumar: 53)
Ulama besar iaitu Sufyan ath-Thauri رØÙ…Ù‡ الله, berkata:
“Jangan engkau melihat kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada siapa engkau berdosa.”
Jadikanlah tahun 2026 sebagai tahun taubat, bukan tahun keputus asaan.
KELIMA : Hiduplah dengan Nilai dan Akhir yang Baik
Sahabat Rasulullah juga menantu kesayangannya suami kepada Fatimah RA iaitu Saidina Ali RA pernah berkata:
“Nilai seseorang bukan pada apa yang dimilikinya, tetapi pada apa yang diberikannya.”
Islam mengajar kita supaya hidup bernilai, memberi manfaat, dan meninggalkan kesan kebaikan kepada diri sendiri dan juga ummah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”(Riwayat Ahmad)
Mudah-mudahan tahun 2026 menjadi tahun kita semua :
lebih bermanfaat ,
lebih berakhlak ,
lebih dekat dengan Allah,
lebih banyak selawat.
Tahun baru bukan jaminan kita masih hidup di penghujungnya. Namun, ianya peluang untuk kembali kepada Allah dengan hati yang lebih bersih dan jiwa yang lebih tenang.
Marilah kita semua menadah tangan dengan doa:
“Ya Allah, jadikanlah tahun 2026 ini tahun yang Engkau redhai, tahun keampunan, tahun keberkatan, dan tahun kami semakin hampir kepada-Mu.”
Akhirnya untuk diri ini dan semua pengunjung blog ustazah Salasiah, hisablah diri sebelum dihisab, dan persiapkan bekalan sebelum perjalanan yang panjang.
والØÙ…د لله رب العالمين
